Sunday 2 December 2012


               


Snek Sihat untuk Si Manja Aktif
Kanak-kanak sekolah memerlukan tenaga dan nutrien yang secukupnya untuk terus aktif. Otak mereka memerlukan tenaga untuk pembelajaran aktif dan badan mereka juga memerlukan tenaga untuk melakukan aktiviti harian.

Oleh itu, adalah penting untuk memastikan si manja anda mengambil tiga sajian utama pada masa yang sama setiap hari. Kanak-kanak biasanya makan sedikit kerana selera makan yang kecil. Sebab itu, kanak-kanak juga memerlukan snek tambahan yang berkhasiat antara waktu makan utama.

Pengambilan snek yang sihat bukan sahaja merupakan cara yang baik untuk memenuhi keperluan tenaga dan nutrien si manja, tetapi juga:

  • Berfaedah apabila si manja makan hanya sedikit pada waktu makan utama,
  • Menghindarkan kelaparan,
  • Memastikan si manja mempunyai tenaga yang mencukupi untuk melakukan aktiviti harian.
Peraturan Memberi Snek
Snek yang sihat dan berkhasiat tidak seharusnya menambah pengambilan kalori secara berlebihan. Untuk memastikannya, ingatlah peraturan-peraturan berikut:

  • Snek hendaklah seimbang. Sediakan snek yang terdiri daripada satu atau dua daripada lima kumpulan makanan utama, atau kombinasi makanan daripada lima kumpulan.
  • Sediakan snek sihat dalam saiz hidangan yang sesuai.
  • Elakkan memberi snek terlalu hampir dengan waktu makan (sekurang-kurang jarak dua jam) kerana ini boleh menjejaskan selera si manja pada waktu makan utama.
  • Snek seharusnya melengkapkan, bukan mengganti sajian makanan utama.
Amalkan Snek Sihat Sejak Kecil
Anda patut menyemaikan tabiat makan snek sihat kepada anak anda sejak kecil, supaya tabiat ini diamalkan sehingga dewasa.

  • Jangan benarkan si manja makan snek di depan TV atau komputer, atau apabila bermain permainan video, kerana ini boleh menyebabkan si manja makan berlebihan tanpa disedari.
  • Sentiasa bekalkan snek sihat dan berkhasiat untuk dimakan pada waktu rehat di sekolah, atau apabila si manja menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah (Petang atau pagi bergantung kepada waktu persekolahan).
  • Tunjukkan tauladan yang baik dengan memilih snek lebih sihat di hadapan si manja.


Berikut adalah beberapa contoh snek sihat untuk dimakan di rumah, di sekolah atau di mana-mana sahaja!

  • Sandwic telur/tuna/keju dibuat daripada roti bijian penuh
  • Bijirin sarapan
  • Pau kacang merah atau apam kukus
  • Jagung dalam cawan (jangan tambah mentega atau garam)
  • Kentang bakar dihidangkan dengan sedikit daging
  • Biskut tawar disapu keju atau tuna
  • Lempeng atau mufin ditambah buah-buahan
  • Buah-buahan dan susu segar
  • Susu kacang soya atau taufu fah


Elakkan snek dengan kandungan lemak, gula, garam, dan perisa yang tinggi. Ini termasuk makanan yang digoreng (seperti kerepek/keropok, kentang goreng), snek manis (seperti donat, kek, biskut manis) dan juga makanan diproses (seperti sosej, nuget). Sebaliknya, terdapat banyak pilihan lebih sihat yang anda boleh sediakan untuk si manja pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja. Anda boleh mulakan dengan membekalkan si manja snek sihat untuk dibawa ke sekolah esok! Semaikan tabiat ini sejak kecil, supaya si manja anda boleh terus mengamalkan tabiat makan yang sihat apabila berada di mana-mana sahaja, bukan hanya di rumah!














No comments:

Post a Comment